Sunday, September 5, 2010

Persiapan di Saat Akhir

Semakin hampir kepada hari kemenangan, semakin pelbagai ragam manusia yang boleh kita lihat. Semuanya sibuk dengan hari lebaran yang menjelang tiba. Membeli-belah merupakan suatu kemestian dalam membuat persiapan hari raya.

Saya dan keluarga juga tidak terlepas untuk membeli-belah baju raya. Maklumlah, hendak jahit baju Melayu sendiri pun bukannya tahu sangat, silap-silap kain tutup meja jadinya nanti.

Kami memilih untuk membeli belah di sekitar jalan Tuanku Abdul Rahman daripada lorong-lorong hinggalah ke Sogo. Pengembaraan bermula pada jam 9 pagi dengan menuju ke arah lorong di tengah-tengah bangunan yang menjadi lokasi tumpuan rakyat Melayu.

Orang mula ramai sekitar jam 10 pagi dan seterusnya sesak dalam masa 30 minit selepas itu!!!. Kami terperangkap dalam 'lalu-lintas' di lautan manusia. Khemah-khemah jualan semakin padat dengan pelanggan. Harga yang diberikan juga cukup berpatutan.