Monday, July 27, 2009

DOA YANG SANGAT WAJAR DIAMALKAN DI ZAMAN INI (AYAT PENGGERAK)

Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut;


Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;



Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut;

1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan;


1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.


Keberuntungan beramal dengan doa ini


Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.


Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.


Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.


Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.

Wednesday, July 22, 2009

Minggu Silaturrahim 2009...

Assalamualaikum w.b.t

Sudah lama rasanya saya tidak menulis sesuatu untuk blog ini. semuanya gara-gara kesibukan untuk mendaftar di UniKL MIIT City Campus. Jadi, saya tidak sempat untuk meninggalkan beberapa coretan buat blog ini.

Pada 12 July yang lalu saya mendaftar di kampus ini dan terus ke Kolej Kerismas di UKM untuk mengikuti Minggu Silaturrahim UniKL MIIT 2009. Kami bertolak dari kolej kediaman Blok 10 di Jalan Pantai Endah pada pukul 8.00 malam.


Minggu yang membosankan

Setelah sampai di Taman Tenaga, malam tu kami tiada aktiviti langsung. cuma diberi penerangan mengenai perjalanan program tersebut. hari pertama kami penuh dengan taklimat dan ceramah yang disampaikan oleh para pegawai dari UniKL sendiri. macam2 perkara yang kami lakukan untuk pendaftaran sebagai pelajar baru seperti credit transfer, loan briefing dan lain-lain.

hari yang kedua dan ketiga pula saya rasakan amat bosan. yang pertama ialah kami dilayan tidak sepadan dengan umur kami yang 20 th ke atas. kami semua dilayan seperti kanak-kanak sekolah rendah. kami disuruh melakukan pelbagai tepukan, tarian dan lain-lain lagi. saya sebenarnya agak tension dengan aksi-aksi tersebut. poco-poco, chicken dance, tepuk ini, tepuk itu. berdasarkan pengalaman saya, aktiviti tersebut hanya sesuai untuk pelajar sekolah rendah. hanya untuk membangkitkan rasa seronok mereka untuk join sesuatu kem. tetapi kalau dilakukan oleh pelajar degree, memang la tak elok rupanya.orientation commitee (OC) perempuan pun same juga melakukan aksi-aksi yang 'mengerikan' tersebut tanpa rasa malu untuk mempertahankan maruah seorang perempuan. sebenarnya setelah mendaftar di unikl saya mengalami sedikit kejutan budaya kerana pelik melihat tingkah laku dan cara pemakaian para pelajar perempuan. mungkin mereka tidak merasakan bahawa pakaian ketat tersebut juga boleh mendatangkan fitnah kepada mereka.


Pengurusan masa yang kelam-kabut

Inilah satu lagi perkara yang menjadi perhatian saya sewaktu minggu tersebut. aturcara program seolah-olah menjadi berserabut. ada yang dapat dilaksanakan dan ada yang tidak. tetapi ada juga beberapa program mengejut yang berlaku dan tidak dijangka seperti kehadiran dato' rais ke program tersebut dan itu boleh dimaafkan. tetapi apa yang ingin saya katakan di sini ialah masa LDK yang tidak mencukupi dan bilangan LDK yang dilaksanakan juga tidak mencukupi seperti yang dirancangkan. saya melihat bahawa LDK yang tidak cukup itu boleh dianjakkan lebih aawal sewaktu malam pertama kami di situ (Isnin malam). apa yang berlaku pula adalah kami semua disuruh menari tarian ayam dan tepuk sorak yang lain lagi. jadi, masa yang berharga tersebut telah dibazirkan dengan aktiviti yang kurang memberi manfaat kepada para peserta.

jika hendak hilangkan mengantuk sekali pun atau ingin membangkitkan semangat berpada-padalah dengan satu atau dua pergerakan yang simple dan tidak memakan masa yang agak panjang. sebagai contoh sewaktu LDK 2, para fasilitator memberitahu bahawa sebelum LDK tersebut dilaksanakan mereka akan mengambil sedikit masa untuk membuat beberapa tepuk sorak. masa yang sedikit tersebut telah memakan masa selama hampir 1 jam. masa untuk LDK tersebut hanya dapat dijalankan selama 30minit sahaja. jadi apa yang saya lihat para OC lebih mementingkan tepuk sorak tersebut daripada LDK yang lebih memberi manfaat kepada para peserta.

kesimpulannya, saya berpendapat yang program sebegini bukanlah terlalu susah dan terlalu mudah untuk mengendalikannya. ketua yang dilantik harus sedar adakah aktiviti yang dijalankan mencapai objektif dan tujuan pelaksanaannya.

Wallahua'lam












Friday, June 26, 2009

DIPOTONG TANGAN KERANA MEMBERI SEDEKAH

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."
Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabial suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."

Wednesday, June 17, 2009

Jangan bawa politik ke masjid part 2

Assalamualaikum.
Terima kasih kepada pengunjung yang memberikan komen terhadap artikel yang saya tulis. Beliau memberi alasan bahawa berpolitik di dalam masjid adalah untuk mengelakkan perpecahan di kalangan umat Islam terutamanya orang Melayu.

Memang betul terdapat perpecahan yang akan berlaku di dalam masjid jika berpolitik dalam masjid. Akan tetapi adakah kita faham bagaimanakah jenis politik yang tidak boleh dijalankan di dalam masjid. Ia adalah politik yang berdasarkan ideologi Barat yang digunapakai di Malaysia. Di dalam masjid, politik yang boleh dijalankan ialah politik Islam.

Apa yang dikatakan politik Islam di sini ialah sistem politik itu dijalankan berdasarkan syariat Allah melalui Al-Quran dan Sunnah. Sistem yang mengikut sistem demokrasi yang sebenar dan mengutamakan keadilan dalam pentadbiran. Sistem ini juga mengutamakan kepentingan Allah dan Islam. Sistem ini telah dijalankan oleh Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun yang lalu. Kita tidak boleh mengatakan sistem politik Baginda tidak relevan untuk digunakan pada zaman sekarang kerana sistem pentadbiran itu adalah sepenuhnya rujukan daripada Al-Quran. Al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan kepada umat akhir zaman dan isi kandungannya telah dijamin oleh Allah tidak akan diubah sehingga hari kiamat. Maka isinya juga adalah relevan untuk semua umat manusia sehingga hari kiamat tanpa ragu-ragu.

Firman Allah "Masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan...." Perkataan sepenuhnya itu dihitamkan kerana ia menandakan Islam ini satu agama yang menyeluruh dan kita harus amalkan apa yang ada di dalamnya secara menyeluruh juga. Kita tidak boleh ambil perundangan Barat sedikit dan perundangan Islam sedikit. Jika berlaku sedemikian maka perkara maksiat pasti akan berlaku. Sebagai contoh, Kerajaan Islam Turki Uthmaniah mengamalkan sistem perundangan Islam sepenuhnya, tetapi apabila Mustafa Kamal Atartuk membawa masuk ideologi Barat dan menggunapakai sistem perundangan mereka, peningkatan kes jenayah terus meningkat. Dapat kita fahami bahawa sesuatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah harus kita ikuti kerana di situ terdapat hikmah yang kita sendiri tidak mengetahuinya.

Politik yang berlaku di dalam masjid sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat adalah sistem yang mempunyai keuntungan peribadi, kroni atau parti. Perkara ini sebenarnya adalah disebabkan oleh kurangnya kesedaran tentang balasan Allah jika tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin yang adil. Masyarakat memilih ahli jawatankuasa yang mereka rasakan layak tetapi telah disaring oleh ahli majlis teringgi dan dipilih mengikut parti yang disokong. Ini jelas menunjukkan jawatan yang diberi bukan untuk dijalankan tetapi hanya untuk mendapatkan nama.

Seperti yang saya tulis dalam artikel yang lalu, ulil amri iu ialah pemimpin yang menjalankan pemerintahannya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah dan beliau boleh memimpim masyarakat ke arah yang lebih baik dan boleh menjadi rujukan masyarakat.

Insyaallah selepas ini saya akan menulis lebih banyak lagi mengenai politik Islam seperti ciri-ciri peimimpin, corak pemerintahan dan lain-lain.

Wallahua'lam