Tuesday, September 1, 2009

Salam Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t

Agak lama sebenarnya saya tidak update blog ini. Lebih kurang seminggu. Bukan apa, cuma terasa malas untuk mengarang biarpun mempunyai idea untuk ditulis. Hari ini saya gagahkan juga untuk menulis supaya tidak terasa terlalu lama tak update blog ni.

Seperti biasa, entri kali ini juga berkaitan dengan situasi yang berlaku sekarang. Memandangkan kita sekarang di dalam bulan Ramadhan al-Karim, maka saya rasa patut juga saya mencoret sedikit mengenai bulan mulia ini.

Jika saya memberi komen kepada rakan-rakan, saya akan tulis komen yang lebih kurang begini,
"Salam Ramadhan. Semoga keghairahan untuk beribadah akan meningkat berkali ganda dalam bulan Ramadhan al-Karim ini. Jadikan bulan ini juga sebagai titik tolak untuk melakukan tranformasi diri ke arah yang lebih baik".

Kata-kata ini sebenarnya merupakan perangsang untuk diri saya terutamanya dan juga untuk rakan-rakan di luar sana serta anda para pembaca. Perangsang untuk berusaha melipatgandakan amalan yang sememangnya dijanjikan ganjaran pahala yang cukup besar. Bulan ini juga seharusnya dijadikan platform untuk mengubah diri kita daripada yang kurang baik kepada yang baik dan seterusnya.

Sebagai contoh, kepada para wanita yang tidak bertudung di luar sana, jadikan pemakaian hijab di bulan Ramadan sebagai permulaan perubahan dalam diri. Ketahuilah bahawa memakai hijab adalah perintah secara langsung daripada Allah, bukannya cadangan Nabi Muhammad atau pandangan ulama fiqh. Ia wajib dipakai bukan sahaja dalam bulan Ramadan, malah sepanjang hidup hanya di depan lelaki ajnabi atau wanita kafir, sementara bersama suami, ayah, ayah mertua, adik-beradik lelaki atau mahram adalah tidak wajib.

Mohonlah kepada Allah dalam Ramadan, agar dicampakkan dalam hati rasa tanggungjawab untuk memakai hijab, rujuklah ayat 30-31 surah an-Nur (24) dan ayat 59 surah al-Ahzab (33) dan mentelaah kitab agama yang membicarakan persoalan hikmah Allah mewajibkan pemakaian hijab ke atas muslimah.

Mohonlah keampunan Allah terhadap kesalahan tidak memakai hijab sebelum Ramadan pada tahun ini. Ramadan memberi peluang seluas-luasnya untuk kembalikan hamba kepada Tuhan. Rasakanlah dalam diri tanggungan dosa-dosa besar kerana tidak berhijab yang merupakan kesalahan amat besar yang hanya boleh ditebus dengan taubat kepada Allah.

Akhir sekali, perbetulkan niat untuk menjadi hamba Allah yang baik, kerana kita tidak tahu, apakah kita boleh bertemu dengan Ramadan pada tahun hadapan. Sehubungan itu baginda s.a.w. bersabda:

"Kalaulah hamba-hamba Allah tahu apa yang ada dalam bulan Ramadan, mereka akan bercita-cita agar sepanjang tahun itu dijadikan Allah sebagai bulan Ramadan."

Sama-samalah kita merenung agar Ramadan tahun ini adalah yang terbaik yang pernah kita lalui.

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment