Sunday, September 5, 2010

Persiapan di Saat Akhir

Semakin hampir kepada hari kemenangan, semakin pelbagai ragam manusia yang boleh kita lihat. Semuanya sibuk dengan hari lebaran yang menjelang tiba. Membeli-belah merupakan suatu kemestian dalam membuat persiapan hari raya.

Saya dan keluarga juga tidak terlepas untuk membeli-belah baju raya. Maklumlah, hendak jahit baju Melayu sendiri pun bukannya tahu sangat, silap-silap kain tutup meja jadinya nanti.

Kami memilih untuk membeli belah di sekitar jalan Tuanku Abdul Rahman daripada lorong-lorong hinggalah ke Sogo. Pengembaraan bermula pada jam 9 pagi dengan menuju ke arah lorong di tengah-tengah bangunan yang menjadi lokasi tumpuan rakyat Melayu.

Orang mula ramai sekitar jam 10 pagi dan seterusnya sesak dalam masa 30 minit selepas itu!!!. Kami terperangkap dalam 'lalu-lintas' di lautan manusia. Khemah-khemah jualan semakin padat dengan pelanggan. Harga yang diberikan juga cukup berpatutan.

Saturday, August 28, 2010

Kembalinya dia kepada Dia

Ketika menghampiri waktu berbuka tadi, kami sekeluarga dikejutkan dengan berita kematian.

Innalillah...

Datuk saudara yang menghidap penyakit kanser hati stage ke-4 telah kembali ke pangkuan Ilahi. Setelah bertarung lebih sebulan. Amat kasihan melihat keadaan dirinya. Mengeluh sakit sepanjang masa.

Tetapi Allah berikan juga nikmat kepadanya dengan tidur yang nyenyak tanpa gangguan dari sakit tersebut. Tatkala melawatnya semalam, hatiku sayu melihatnya. Dia sedang tidur. Tubuhnya kurus. Dijaga oleh isteri tersayang.

Apabila saya mula membaca ruqyah, dia terjaga. Saya memegang tangannya sambil diletakkan di tempat yang sakit. Saya membaca ayat-ayat ruqyah sederhana kuat supaya bacaan dapat di dengari dan harap-harap akan dapat mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggungnya.

Setelah selesai ruqyah, air yang diruqyah di basahkan dengan kain dan diletakkan di tempat sakit. Saya tidak putus-putus berdoa di dalam hati supaya diberikan yang terbaik kepadanya.

Ya Allah, berikanlah apa yang terbaik kepada dirinya. Jika Engkau ingin panjangkan nyawanya, kau sembuhkanlah penyakitnya dan jika Engkau ingin cabut nyawanya, Engkau cabutlah segera. Tidak sanggup lagi aku melihat penderitaannya.

Dan hari ini dia telah kembali kepada Dia...

Thursday, August 26, 2010

Penurunan Wahyu di Malam ke-17

Malam ini sudah masuk ke malam yang ke tujuh belas. Malam yang amat bersejarah bagi kita semua umat Islam. Malam turunnya Kalamullah yang Agung iaitu Al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w.


Semakin hampir juga kita dengan penghujung Ramadhan. Terasa begitu pantas masa berlalu. Ramai juga yang akan berkata "eh, cepatnya masa berlalu. tak sempat nak banyakkan amalan". 


Dialog biasa yang kita dengar saban tahun. Bukan masa yang cepat berlalu tetapi kita yang kurang cekap untuk mengejar masa tersebut. Kita hanya perlu bijak untuk membahagikan masa 24 jam yang ada dengan jadual khas untuk ibadah di bulan Ramadhan ini.


Suatu peringatan untuk diri saya terutamanya dan juga kepada anda.


Lailatulqadar vs Lailatultujuhlikur


Jika semasa kecil dahulu, saya sering mendengar mengenai Malam Tujuh Likur. Setiap kali Ramadhan, saya dan adik-adik yang lain akan seronok untuk menyalakan pelita di sekeliling rumah.


Tapi sehingga sekarang saya pun masih belum mengerti apa itu Malam Tujuh Likur! Hehehe.. saya cuma faham keseronokan bermain bunga api yang semakin rancak di hujung Ramadhan.


Seingat saya, penekanan mengenai Lailatulqadar yang lebih hebat dan besar ganjarannya dari beriya-iya menyambut Malam Tujuh Likur adalah sangat kurang. Sama ada di sekolah, di rumah mahupun di surau, semuanya bercerita mengenai puasa, puasa dan puasa.


Sedangkan Lailatulqadar itu sebenarnya bagi saya memberikan keghairahan untuk beribadat kepada hamba yang ingin mendekatkan lagi diri mereka kepada Allah. 


Firman Allah:



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤)سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)
Terjemahnnya: 
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!  (5)

Surah yang telah menceritakan segala-galanya mengenai Lailatulqadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang kelebihannya hanya dapat di nikmati oleh umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja. 

Jadi marilah sama-sama kita menambahkan amalan dengan memperbanyakkan amalan sunat yang ganjarannya berlipat kali ganda. Sebagai bekalan untuk kita di dalam kubur dan di akhirat kelak. Mungkin Ramadhan kali ini adalah yang terakhir untuk kita.

Makin hujung makin kurang

Satu lagi fenomena pelik yang saya lihat ialah semakin hujung Ramadhan semakin kurang umat manusia di surau-surau dan masjid-masjid. Sepatutnya semakin hujung semakin hebat pesta ibdahnya.

Tambahan pula kebanyakan masjid-masjid di KL ini sudah menyediakan juadah sahur sebagai galakan untuk kita lebih banyak masa untuk iktikaf di masjid. Janganlah kita lepaskan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan yang telah dikurniakan kepada kita dalam bulan Ramadhan.

Jika dahulu, Ramadhan bagi kita hanyalah bulan untuk berpuasa sahaja, maka pada Ramadhan kali ini kita ubah persepsi itu kepada bulan untuk menyemai amalan dan kita akan tuai hasilnya di akhirat kelak.

Saya juga ingin mengajak rakan-rakan yang mengenali diri ini untuk bersama-sama qiam di sepuluh malam yang terakhir. Boleh tidur di rumah saya dan seterusnya bangun untuk qiam di masjid. Kita mulakan dengan sedikit demi sedikit supaya dapat kita biasakannya di dalam bulan yang lain InsyaAllah.

Wllahua'lam.


Wednesday, August 25, 2010

Tanggungjawab Baru, Pengalaman Baru

Sudah macam terbengkalai pula blog ini sejak ketagih dengan laman sosial Facebook(FB). Cukup hebat penangan FB yang satu ini. Segala kerja tidak menjadi. Urusan tergendala. Kelewatan dalam segala hal dan lain-lain. Tapi bukan FB yang ingin saya ceritakan di sini.

Bagi comeback kali ini, saya ingin membawa satu nafas baru kepada blog ini. Tidak mahu terlalu strict dengan artikel yg terlalu ilmiah dan serius tetapi lebih santai dengan entri yang semuanya dari kepala otak saya yang bukanlah terlalu pandai ini.

Pengalaman Baru

Semalam merupakan pengalaman yang baru sebagai seorang umat Islam yang ingin menegakkan Islam di muka bumi Allah ini. Pelbagai ilmu dan pengalaman dapat dikutip supaya dijadikan panduan dalam hidup.

Majlis Berbuka Puasa anjuran PERKIM Kebangsaan telah mempertemukan saya dengan rakan-rakan di Kelab PERKIM yang berlainan IPT. Banyak juga faedahnya apabila duduk di meja YDP Kelab PERKIM. 

Rakan-rakan YDP lain juga tidak lokek memberikan idea dan juga tunjuk ajar dalam meneraju Kelab PERKIM serta menghadapi cabara-cabarannya. Saya sedar bahawa terlalu banyak cabaran dan dugaan dalam melaksanakan program-program Islamik di UniKL.

Mujurlah Timbalan Dekan Dr Shahrulniza hadir bagi memenuhi kerusi VIP yang telah diperuntukkan untuk UniKL. Sekurang-kurangnya beliau dapat melihat suasana PERKIM yang sebenar dan saya harap beliau akan dapat membenarkan kami melaksanakan program-program Islamik dengan lebih kerap.

Walaupun ada banyak lagi masalah di kampus itu, saya dan rakan-rakan Kelab PERKIM yang lain akan tetap juga melaksanakan objektif kelab yang kami telah tetapkan iaitu "mewujudkan suasanaa Islam di UniKL".

Saya rasa angan-angan dan cita-cita yang tersemat dalam objektif tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil. Bukannya salah pun untuk rasa beragama di sebuah universiti swasta kerana semuanya akan kembali kepada fitrah juga.

Wallahua'lam

Monday, January 25, 2010

Tutuplah Tubuhmu

Assalamualaikum w.b.t


Salam taaruf sebagai pembuka bicara untuk artikel yang tidak seberapa ini. Malah ditulis oleh seorang hamba yang lemah lagi dhaif serta kurang ilmunya dalam ilmu Allah tetapi menulis sekadar untuk mengingatkan diri sendiri dan juga saudara se-Islam yang lain di luar sana.


Bagi artikel ini, saya ingin menyentuh soal aurat yang khusus kepada para wanita di luar sana amnya, dan di universiti ini khususnya sama ada pensyarah, pelajar, staf mahupun tukang cuci sekalipun. Saya memfokuskan kepada wanita terlebih dahulu kerana aurat wanita telah diperincikan penerangannya di dalam Al-Quran.


Firman Allah s.w.t :

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita Mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)


Seorang Muslimah, seluruh tubuh badannya wajib dilindungi daripada pandangan lelaki ajnabi, kecuali muka dan tapak tangan seperti yang disepakati oleh pendapat jumhur ulama dari zaman berzaman. Ulama juga telah bersepakat bahaya setiap ayat yang diturunkan kepada Nabi kita Muhammad S.A.W juga adalah ditujukan kepada setiap Muslim.


Oleh itu, dalam perkara ini, menutup aurat termasuklah kepala, rambut, leher dan dada adalah satu perintah yang bukan hanya terhad kepada isteri-isteri Nabi, tetapi juga kepada seluruh kaum wanita Muslim. Oleh itu sesiapa sahaja yang mengaku Muslim lagi mukmin, wajiblah mereka tunduk dan patuh serta mentaati perintah Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat tadi.


Definisi jilbab yang disebut di dalam ayat tadi adalah pakaian yang dipakai oleh kaum wanita (sama seperti baju kurung) untuk menutup badan mereka. Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi menerangkan bahawa di zaman Jahiliyah, apabila segelintir wanita keluar dari rumah, mereka gemar menunjuk-nunjuk sebahagian kecantikan mereka seperti dada, leher dan rambut sehingga mereka diganggu oleh lelaki-lelaki yang gemar melakukan zina.


Kemudian, ayat di atas diturunkan memerintahkan wanita-wanita Muslim untuk memanjangkan (beerti dari bahagian atas ke bahagian dada dan bukannya hanya di bahagian dada sahaja) jilbab mereka supaya menutup bahagian-bahagian badan yang boleh mendatangkan fitnah. Dengan cara ini, mereka akan dikenali sebagai wanita suci, mulia dan bersih (‘afifah) dan menepati ciri wanita Muslim sebenar. Jadi, dengan demikian mereka akan dikenali sebagai bukan kumpulan wanita murahan yang boleh dipermain dan diganggu maruahnya.


Allah tidak akan menciptakan sesuatu itu tanpa hikmah yang mempunyai kesan kepada manusia itu sendiri. Allah itu lebih tahu tentang segala perkara yang dirancang-Nya. Jadi kita sebagai hamba cuma perlu melihat apakah hikmah yang terkandung di sebalik penegasan sesuatu hukum itu. Cuba kita lihat situasi ini.


Wanita : Ustaz mengapa kami kaum wanita kena tutup aurat banyak dan sukar, tapi lelaki sikit aja.

Adil ke begitu ustaz?

Ustaz : Puan tahu tak berapa jarak matahari ke bumi?

Wanita : Emm, tak ingat la ustaz, kenapa pulak? Bagaimana soalan saya tadi.

Ustaz : Cuba Puan bayangkan, kalau jarak antara matahari dan bumi ini tiba-tiba berubah jadi seinchi

rapat, apa agaknya akan jadi kat kita

Wanita : Rasanya jika ikut teorinya, mesti hancur lebur dan cair penduduk bumi kot, ustaz.

Ustaz : Jadinya, Dr setuju tak kalau saya kata bahawa Allah SWT begitu mahir dan amat tepat dalam

seluruh urusannya, jika tidak, sudah tentu kita tak boleh hidup di dunia ni, bumi asyik berlaga,

siang malam tak tentu hala dan tumbuhan semuanya kelam kabut tumbuhnya.

Wanita : Benar ustaz, saya amat bersetuju tentang Allah maha mengetahui dan berkuasa.

Ustaz : Jika demikian, mengapa Dr boleh timbul rasa sangsi tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah

dalam mengarahkan wanita menutup aurat begini, dan lelaki begitu.

Wanita : Hmmm, ye tak ye jugak ustaz kan, betul-betul tak patut saya rasa begitu, astahgfirullahal azim.


Bagi sesetengah orang yang bijak, mungkin fakta ringkas tadi sudah cukup untuk memberi faham kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ia mungkin sekali tidak berkesan buat setengah yang lain.

Jawapan lazim yang kerap digunakan apabila ditanya soalan sebegini adalah kembali kepada pengertian adil dalam Islam. Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contoh ‘favorite'nya pula ialah dengan menyebut "adil tak meletakkan kupiah di atas kepala lutut?."


Dari sudut Islam, kita harus memahami bahawa Allah SWT maha bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang memudaratkan manusia secara tersurat dan tersirat akan diletakkan had dan batasan untuk dikurangi atau dijauhi. Apa yang bermanfaat dan baik sahaja yang akan digalakkan dan dibenarkan.


Justeru itu, semua wanita yang beragama Islam di universiti ini semaklah sama ada anda menutup aurat mengikut syariat yang ditetapkan atau tidak. Tidak perlulah kita untuk menunjukkan susuk tubuh badan anda kepada lelaki lain. Biarlah lelaki yang halal untuk anda sahaja melihatnya.


Tidak ada gunanya memperagakan betis dan peha anda dengan memakai kain yang terbelah menampakkan keduanya disamping baju kebaya yang ketat. Tidak ada ruginya untuk kita menurut segala perintah Allah kerana itulah tujuan kita hidup di dunia ini iaitu untuk menyembah Allah.


Jika anda orang yang bijak, fikirkanlah tentang nasib kita setelah kita tiada di dunia. “Sebijak-bijak manusia itu adalah mereka yang mengingati mati”. Janganlah apa yang kita lakukan di dunia ini tidak mampu untuk membantu kita menyeberangi titian Sirat nanti.


Wallahua’lam