Wednesday, November 4, 2009

Pendidikan Islam di Malaysia

Assalamualaikum w.b.t


Pendidikan atau tarbiyah merupakan perkara paling asas sekali dalam hidup seorang manusia di muka bumi Allah ini. Pendidikan ini sebenarnya bermula sejak lahir lagi iaitu kita belajar untuk mengenal Allah melalui azan yang dikumandangkan oleh si ayah sewaktu kita dilahirkan. Kita belajar bahawa Allah itu Tuhan yang satu dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.


Secara tidak langsung, tarbiyah mengenai agama Islam telah bermula tanpa kita sedari. Peranan kita sebagai hamba ialah untuk mentaati segala perintah dan larangan Allah. Perintah tersebut termasuklah perintah untuk menuntut ilmu. Kita sebagai orang Islam wajib untuk menuntut apa jua ilmu yang berfaedah kepada diri kita khususnya mahupun kepada masyarakat amnya.


Tarbiyah Islamiyyah ataupun Pendidikan Islam ini sebenarnya merupakan perkara paling asas sekali yang patut di pelajari oleh seorang Muslim selain ilmu-ilmu duniawi yang lain. Asas didikan agama ini sepatutnya telah bermula di rumah lagi. Institusi kekeluargaan merupakan institusi yang paling berpengaruh sekali berbanding institusi-institusi masyarakat yang lain.


Di rumah, anak-anak sepatutnya dididik dengan asas-asas pengetahuan agama seperti ibadah dan akhlak. Ibu bapa pula haruslah menunjukkan contoh tauladan yang baik kerana ibu bapa biasanya akan menjadi role-model atau contoh kepada setiap perkara yang ingin dilakukan oelh anak-anak. Contoh termudah ialah, apabila di sekolah, akhlak anak-anak itu sebenarnya mencerminkan peribadi ibu bapanya di rumah. Jika di rumah, ibu bapa mereka suka menggunakan perkataan-perkataan kesat, maka perkara yang sama akan berlaku di sekolah. Anak-anak akan teriku-ikut dengan perangai ibu bapanya.

Seterusnya, apa yang ingin saya katakan sebenarnya di sini ialah sistem pendidikan agama Islam di sekolah. Subjek Pendidikan Islam (PI) merupakan salah satu subjek yang wajib dipelajari oleh semua pelajar Islam baik di peringkat rendah mahupun di peringkat menengah. Boleh dikatakan yang semua pelajar Islam akan mengikuti subjek ini selama lebih kurang 11 tahun sepanjang berada di alam persekolahan.

Apa yang menarik perhatian saya ialah sukatan pelajarannya yang dipelajari selama lebih kurang 11 tahun itu. Di sini saya bukanlah ingin mengkritik atau mengatakan tidak bagus sukatannya, tetapi saya merasakan bahawa sukatan pelajarannya perlu dikemaskini atau dirombak kembali. Hal ini seiring dengan tahap kecerdasan kanak-kanak zaman sekarang berbanding dahulu.

Contoh yang saya ingin kupaskan di sini ialah yang paling mudah sekali iaitu sukatan Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA). Para pelajar akan diajar terlebih dahulu mengenai asas-asas fardhu ain yang wajib dipelajari dan kemudiannya akan di adakan satu ujian untuk mengenalpasti tahap kefahaman seseorang murid itu di dalam setiap tajuk. Kebiasaannya, ujian tersebut akan diadakan sewaktu pelajar berada di tahun 6.

Walau bagaimanapun, setelah saya melihat kepada PAFA peringkat menengah, topik yang di tanya adalah sama sahaja. Tidak berubah sedikit pun dari topik-topik yang dibincangkan di peringkat rendah. Bagi saya, satu strategi baru perlu di susun untuk memantapkan lagi asas fardhu ain di kalangan pelajar Islam.

Cadangan saya ialah borang penilaian PAFA bagi setiap pelajar haruslah berkesinambungan dari tahun ke tahun maknanya dari tahun1 hingga ke tingkatan 5. Para pelajar yang tidak lulus pada penilaian peringkat rendah haruslah mengulangi penilaian tesebut bagi topik yang gagal di peringkat menengah. Rasionalnya ialah setiap pelajar harus mantap perkara-perkara yang asas sebelum di ajarkan perkara yang lain pula.

Bagi pelajar yang lulus pula, sewaktu di sekolah menengah mereka akan di ajar pula mengenai topik-topik baru yang sesuai dengan tahap pemikiran mereka. Jadi, secara tidak langsung, para pelajar ini dapat belajar ilmu agama yang lebih dan boleh menjadi bekalan apabila keluar sekolah kelak. Ilmu agama yang dipelajari juga dapat menghindarkan seseorang daripada melakukan kemungkaran.

Walau bagaimanapun, cadangan utama saya ialah masa untuk subjek ini ditambah lagi supaya menjadi lebih panjang. Bukan hendak mengenepikan subjek lain tetapi lebih kepada pengukuhan terhadap asas agama Islam itu sendiri yang sememangnya berguna kepada para pelajar. Masa yang diperuntukkan juga boleh dimanfaatkan selaras dengan silibus yang sesuai dengan para pelajar zaman ini yang semakin pintar.

Saya memberikan cadangan sebegini kerana kebanyakan para pelajar memang cemerlang dari segi akademik duniwai tetapi jika dilihat dari sidit spiritual sebagai seorang Islam, mereka amat lemah sekali. Hubungan mereka dengan Allah amat renggang sekali bahkan ada yang menganggap Islam itu cuma adat sahaja yang diwarisi zaman berzaman. Mereka tidak kuat dari segi penghayatan untuk beribadat kepada Allah tanpa suruhan ibu bapa.

Keadaan ini bertambah teruk dengan tingkah laku ibu bapa mereka pula. Tidak sembahyang, meninggalkan puasa, minum arak, berjudi, mensyirikkan Allah dan bermacam lagi bentuk kerosakan akidah yang ditunjukkan kepada anak-anak.

Jika hendak dikupaskan di sini, sememangnya akan berkait-kait dengan banyak perkara. Pokoknya, kita seharusnya memikirkan kembali apa yang sepatutnya dilakukan oelh seorang hamba yang hanya menumpang hidup di muka bumi Allah ini.

Wallahua'lam.

2 comments:

  1. salam..wah bgus sekali anda punye pandanagn tentang tarbiah. pada pandangan saya tarbiah bukan sahaja di selolah malah yang utama tarbiah dari rumah.ini kerana perkembangan akhlak pelajar akan menjadi mudah dan senang di bentuk dari rumah lagi, dan dari situ lah kita nilai akhlak mereka di sekolah.

    ReplyDelete
  2. terima kasih kerana memberikan pandangan yang berguna itu. memang saya sedar mengenai hal tersebut tetapi pandangan saya adalah dari sudut pendidikan di sekolah. akan tetapi saya tidak menafikan pandangan anda itu dan saya memang bersetuju dengannya kerana institusi kekeluargaan adalah lebig berpengaruh dari institusi masyarakat dan lainnya. terima kasih.

    ReplyDelete