Saturday, August 28, 2010

Kembalinya dia kepada Dia

Ketika menghampiri waktu berbuka tadi, kami sekeluarga dikejutkan dengan berita kematian.

Innalillah...

Datuk saudara yang menghidap penyakit kanser hati stage ke-4 telah kembali ke pangkuan Ilahi. Setelah bertarung lebih sebulan. Amat kasihan melihat keadaan dirinya. Mengeluh sakit sepanjang masa.

Tetapi Allah berikan juga nikmat kepadanya dengan tidur yang nyenyak tanpa gangguan dari sakit tersebut. Tatkala melawatnya semalam, hatiku sayu melihatnya. Dia sedang tidur. Tubuhnya kurus. Dijaga oleh isteri tersayang.

Apabila saya mula membaca ruqyah, dia terjaga. Saya memegang tangannya sambil diletakkan di tempat yang sakit. Saya membaca ayat-ayat ruqyah sederhana kuat supaya bacaan dapat di dengari dan harap-harap akan dapat mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggungnya.

Setelah selesai ruqyah, air yang diruqyah di basahkan dengan kain dan diletakkan di tempat sakit. Saya tidak putus-putus berdoa di dalam hati supaya diberikan yang terbaik kepadanya.

Ya Allah, berikanlah apa yang terbaik kepada dirinya. Jika Engkau ingin panjangkan nyawanya, kau sembuhkanlah penyakitnya dan jika Engkau ingin cabut nyawanya, Engkau cabutlah segera. Tidak sanggup lagi aku melihat penderitaannya.

Dan hari ini dia telah kembali kepada Dia...

Thursday, August 26, 2010

Penurunan Wahyu di Malam ke-17

Malam ini sudah masuk ke malam yang ke tujuh belas. Malam yang amat bersejarah bagi kita semua umat Islam. Malam turunnya Kalamullah yang Agung iaitu Al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w.


Semakin hampir juga kita dengan penghujung Ramadhan. Terasa begitu pantas masa berlalu. Ramai juga yang akan berkata "eh, cepatnya masa berlalu. tak sempat nak banyakkan amalan". 


Dialog biasa yang kita dengar saban tahun. Bukan masa yang cepat berlalu tetapi kita yang kurang cekap untuk mengejar masa tersebut. Kita hanya perlu bijak untuk membahagikan masa 24 jam yang ada dengan jadual khas untuk ibadah di bulan Ramadhan ini.


Suatu peringatan untuk diri saya terutamanya dan juga kepada anda.


Lailatulqadar vs Lailatultujuhlikur


Jika semasa kecil dahulu, saya sering mendengar mengenai Malam Tujuh Likur. Setiap kali Ramadhan, saya dan adik-adik yang lain akan seronok untuk menyalakan pelita di sekeliling rumah.


Tapi sehingga sekarang saya pun masih belum mengerti apa itu Malam Tujuh Likur! Hehehe.. saya cuma faham keseronokan bermain bunga api yang semakin rancak di hujung Ramadhan.


Seingat saya, penekanan mengenai Lailatulqadar yang lebih hebat dan besar ganjarannya dari beriya-iya menyambut Malam Tujuh Likur adalah sangat kurang. Sama ada di sekolah, di rumah mahupun di surau, semuanya bercerita mengenai puasa, puasa dan puasa.


Sedangkan Lailatulqadar itu sebenarnya bagi saya memberikan keghairahan untuk beribadat kepada hamba yang ingin mendekatkan lagi diri mereka kepada Allah. 


Firman Allah:



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤)سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)
Terjemahnnya: 
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!  (5)

Surah yang telah menceritakan segala-galanya mengenai Lailatulqadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang kelebihannya hanya dapat di nikmati oleh umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja. 

Jadi marilah sama-sama kita menambahkan amalan dengan memperbanyakkan amalan sunat yang ganjarannya berlipat kali ganda. Sebagai bekalan untuk kita di dalam kubur dan di akhirat kelak. Mungkin Ramadhan kali ini adalah yang terakhir untuk kita.

Makin hujung makin kurang

Satu lagi fenomena pelik yang saya lihat ialah semakin hujung Ramadhan semakin kurang umat manusia di surau-surau dan masjid-masjid. Sepatutnya semakin hujung semakin hebat pesta ibdahnya.

Tambahan pula kebanyakan masjid-masjid di KL ini sudah menyediakan juadah sahur sebagai galakan untuk kita lebih banyak masa untuk iktikaf di masjid. Janganlah kita lepaskan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan yang telah dikurniakan kepada kita dalam bulan Ramadhan.

Jika dahulu, Ramadhan bagi kita hanyalah bulan untuk berpuasa sahaja, maka pada Ramadhan kali ini kita ubah persepsi itu kepada bulan untuk menyemai amalan dan kita akan tuai hasilnya di akhirat kelak.

Saya juga ingin mengajak rakan-rakan yang mengenali diri ini untuk bersama-sama qiam di sepuluh malam yang terakhir. Boleh tidur di rumah saya dan seterusnya bangun untuk qiam di masjid. Kita mulakan dengan sedikit demi sedikit supaya dapat kita biasakannya di dalam bulan yang lain InsyaAllah.

Wllahua'lam.


Wednesday, August 25, 2010

Tanggungjawab Baru, Pengalaman Baru

Sudah macam terbengkalai pula blog ini sejak ketagih dengan laman sosial Facebook(FB). Cukup hebat penangan FB yang satu ini. Segala kerja tidak menjadi. Urusan tergendala. Kelewatan dalam segala hal dan lain-lain. Tapi bukan FB yang ingin saya ceritakan di sini.

Bagi comeback kali ini, saya ingin membawa satu nafas baru kepada blog ini. Tidak mahu terlalu strict dengan artikel yg terlalu ilmiah dan serius tetapi lebih santai dengan entri yang semuanya dari kepala otak saya yang bukanlah terlalu pandai ini.

Pengalaman Baru

Semalam merupakan pengalaman yang baru sebagai seorang umat Islam yang ingin menegakkan Islam di muka bumi Allah ini. Pelbagai ilmu dan pengalaman dapat dikutip supaya dijadikan panduan dalam hidup.

Majlis Berbuka Puasa anjuran PERKIM Kebangsaan telah mempertemukan saya dengan rakan-rakan di Kelab PERKIM yang berlainan IPT. Banyak juga faedahnya apabila duduk di meja YDP Kelab PERKIM. 

Rakan-rakan YDP lain juga tidak lokek memberikan idea dan juga tunjuk ajar dalam meneraju Kelab PERKIM serta menghadapi cabara-cabarannya. Saya sedar bahawa terlalu banyak cabaran dan dugaan dalam melaksanakan program-program Islamik di UniKL.

Mujurlah Timbalan Dekan Dr Shahrulniza hadir bagi memenuhi kerusi VIP yang telah diperuntukkan untuk UniKL. Sekurang-kurangnya beliau dapat melihat suasana PERKIM yang sebenar dan saya harap beliau akan dapat membenarkan kami melaksanakan program-program Islamik dengan lebih kerap.

Walaupun ada banyak lagi masalah di kampus itu, saya dan rakan-rakan Kelab PERKIM yang lain akan tetap juga melaksanakan objektif kelab yang kami telah tetapkan iaitu "mewujudkan suasanaa Islam di UniKL".

Saya rasa angan-angan dan cita-cita yang tersemat dalam objektif tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil. Bukannya salah pun untuk rasa beragama di sebuah universiti swasta kerana semuanya akan kembali kepada fitrah juga.

Wallahua'lam