Friday, January 25, 2013

Rasulullah saw Kekasih Allah

Semalam, 12 Rabiul Awwal adalah tarikh yang saban tahun rakyat Malaysia akan bercuti kerana ada sesuatu yang amat penting kepada seluruh umat Islam. Tarikh yang merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad saw di Makkatul Mukarramah. Nabi terakhir, penghulu segala Nabi dan juga yang paling penting sekali adalah pemberi syafaat kepada kita semua di akhirat kelak.

Saya tak mahu komen tentang betul atau salah apa yang kita lakukan di Malaysia. Memakai sepersalinan baju Melayu, seperti hari raya, berarak dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain sambil membawa sepanduk dan berselawat ke atas Nabi.

Moga segala amalan kita itu diterima oleh Allah dan sekaligus menggambarkan kecintaan kita kepada Rasulullah saw.


Sunnah yang makin dilupakan

Cuma apa yang saya ingin tekankan di sini adalah sejauh mana kecintaan kita kepada baginda Rasulullah saw. Adakah sekadar seperti situasi di atas? Selepas berarak terus kembali seperti sebelumnya yang sangat kurang amalan yang menunjukkan kecintaan kepada baginda. 

Sepatutnya, sambutan ini diadakan sebulan supaya semua umat Islam dapat menyelami dan menghayati kisah hidup baginda melalui kuliah-kuliah di seluruh Malaysia. Pihak berkaitan perlu memikirkan strategi bagaimana untuk menerapkan sunnah Nabi dalam kalangan masyarakat Islam supaya dapat diamalkan dengan baik.


Opsss..

Itu adalah cadangan untuk pihak yang berwajib. Tetapi kita sebagai rakyat biasa tidak terlepas dari termasuk dalam golongan untuk berdakwah sesama kita dan menyebarkan ajaran yang Rasulullah saw bawa sejak dulu lagi. 

Jika kita hanya mengharapkan pegawai-pegawai jabatan agama sahaja, maka akan banyak berlaku kekurangan di situ. Ada sebahagian kita yang mampu untuk menganjurkan kuliah, program dan aktiviti serta kempen yang menjuruskan kepada kecintaan kita kepada baginda Rasulullah saw.

Oleh itu, adalah tanggungjawab kita juga untuk bersama-sama mengerahkan tenaga bagi mencapai objektif yang satu iaitu untuk cinta Rasul dengan mengamalkan Sunnah.

Orang makin lupa dan jauh dengan sunnah. Sunnah juga yang akan memandu kita daripada hanyut di dunia penuh dugaan ini.

Mari kita berselawat ke atas Nabi!!!








No comments:

Post a Comment