Entri kali ni saya terasa untuk menulis sesuatu yang lebih berat sedikit dan memerlukan kita untuk berfikir seketika. Saya tertarik dengan kata-kata di dalam gambar di atas
"Ilmu lebih baik dari harta, ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta."
Saya pernah juga terfikir dan mencari kebenarannya kata-kata di atas. Janji Allah dalam al-Quran ialah dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11:
Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Kehidupan lebih senang
Saya selalu melakukan pemerhatian terhadap orang-orang di sekitar kehidupan saya iaitu ahli keluarga dan rakan-rakan. Ada yang banyak harta, hidup senang, rumah besar dan ada yang sederhana sahaja kehidupannya yang kadangkala ditimpa masalah yang tak putus-putus.
Persoalannya di sini adakah hidup ini tidak adil? Kalau kita beranggapan sebegitu maka samalah kita menyatakan bahawa Allah itu tidak adil. Allah itu Maha Adil dan tidak pernah mensia-siakan hambanya. Jadi mengapa wujudnya ruang perbezaan yang ketara antara keduanya?
Sebenarnya kita boleh melihat persoalan ini dari banyak sudut dan kali ini saya hanya ingin melihatnya dari sudut ilmu. Bagaimana ilmu itu mempunyai suatu pengaruh yang besar dalam kehidupan manusia dunia akhirat!
Perbezaan orang yang berilmu
Janji Allah dalam ayat 11 Surah Al-Mujadalah ialah Allah akan meningkatkan darjat orang yang berilmu. Apa yang kita boleh simpulkan mengenai darjat ialah perbezaan yang kita boleh lihat sendiri dengan mata kasar tentang keadaan kehidupan seseorang itu.
Sebagai contoh, kehidupan seorang jurutera (engineer) dengan juruteknik (technician) yang secara asasnya bidang mereka adalah sama tetapi berbeza dari sudut percakapan, pergaulan, pengurusan hidup dan lain-lain. Perbezaan darjat itu bukanlah terletak pada wang ringgit.
Jangan salah anggap apabila saya meletakkan contoh dua jawatan ini, jawatan juruteknik itu ialah golongan yang tidak berilmu. Juruteknik juga golongan berilmu cuma saya hanya ingin menampakkan perbezaan luasnya pengetahuan antara dua golongan ini.
Apa yang dimaksudkan dengan dinaikkan beberapa darjat itu juga ialah bagaimana ilmu itu mengubah cara seseorang itu berfikir untuk menguruskan kehidupannya supaya menjadi lebih baik dan lebih bermakna. Tidak kiralah ilmu bidang apa yang dipelajari sama ada bidang agama atau professional, proses mendapatkan ilmu itu sebenarnya adalah disiplin yang akan mendidik cara seseorang itu berfikir.
Sebab itulah apabila makin tinggi tahap seseorang itu belajar atau lebih banyak kitab seseorang itu mentelaah, maka setiap kitab dan tahap pengajian itu ada ujian-ujian yang perlu ditempuhi para penuntut ilmu ini dalam usaha untuk memahami ilmu yang dipelajarinya dan kesusahan/kepayahan ujian-ujian inilah yang akan mematangkan pemikiran manusia.
Ini hanyalah pandangan saya yang masih kurang lagi ilmu di dada. Apa yang dikongsikan di sini hanyalah sekadar pemerhatian yang dilakukan. Mungkin coretan saya ni tidak menarik seperti kebanyakan penulis-penulis lain kerana ilmu mereka jauh lebih tinggi dari saya. Jika ada kesilapan jangan malu untuk menegur untuk saya betulkan kesilapan itu supaya tidak merebak kepada orang lain.
p/s : kalau dari sudut kerjaya, lagi banyak kita tahu, lagi senang orang nak ambil kita bekerja
p/s : kalau dari sudut kerjaya, lagi banyak kita tahu, lagi senang orang nak ambil kita bekerja
No comments:
Post a Comment