Wednesday, June 17, 2009

Jangan bawa politik ke masjid part 2

Assalamualaikum.
Terima kasih kepada pengunjung yang memberikan komen terhadap artikel yang saya tulis. Beliau memberi alasan bahawa berpolitik di dalam masjid adalah untuk mengelakkan perpecahan di kalangan umat Islam terutamanya orang Melayu.

Memang betul terdapat perpecahan yang akan berlaku di dalam masjid jika berpolitik dalam masjid. Akan tetapi adakah kita faham bagaimanakah jenis politik yang tidak boleh dijalankan di dalam masjid. Ia adalah politik yang berdasarkan ideologi Barat yang digunapakai di Malaysia. Di dalam masjid, politik yang boleh dijalankan ialah politik Islam.

Apa yang dikatakan politik Islam di sini ialah sistem politik itu dijalankan berdasarkan syariat Allah melalui Al-Quran dan Sunnah. Sistem yang mengikut sistem demokrasi yang sebenar dan mengutamakan keadilan dalam pentadbiran. Sistem ini juga mengutamakan kepentingan Allah dan Islam. Sistem ini telah dijalankan oleh Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun yang lalu. Kita tidak boleh mengatakan sistem politik Baginda tidak relevan untuk digunakan pada zaman sekarang kerana sistem pentadbiran itu adalah sepenuhnya rujukan daripada Al-Quran. Al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan kepada umat akhir zaman dan isi kandungannya telah dijamin oleh Allah tidak akan diubah sehingga hari kiamat. Maka isinya juga adalah relevan untuk semua umat manusia sehingga hari kiamat tanpa ragu-ragu.

Firman Allah "Masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan...." Perkataan sepenuhnya itu dihitamkan kerana ia menandakan Islam ini satu agama yang menyeluruh dan kita harus amalkan apa yang ada di dalamnya secara menyeluruh juga. Kita tidak boleh ambil perundangan Barat sedikit dan perundangan Islam sedikit. Jika berlaku sedemikian maka perkara maksiat pasti akan berlaku. Sebagai contoh, Kerajaan Islam Turki Uthmaniah mengamalkan sistem perundangan Islam sepenuhnya, tetapi apabila Mustafa Kamal Atartuk membawa masuk ideologi Barat dan menggunapakai sistem perundangan mereka, peningkatan kes jenayah terus meningkat. Dapat kita fahami bahawa sesuatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah harus kita ikuti kerana di situ terdapat hikmah yang kita sendiri tidak mengetahuinya.

Politik yang berlaku di dalam masjid sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat adalah sistem yang mempunyai keuntungan peribadi, kroni atau parti. Perkara ini sebenarnya adalah disebabkan oleh kurangnya kesedaran tentang balasan Allah jika tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin yang adil. Masyarakat memilih ahli jawatankuasa yang mereka rasakan layak tetapi telah disaring oleh ahli majlis teringgi dan dipilih mengikut parti yang disokong. Ini jelas menunjukkan jawatan yang diberi bukan untuk dijalankan tetapi hanya untuk mendapatkan nama.

Seperti yang saya tulis dalam artikel yang lalu, ulil amri iu ialah pemimpin yang menjalankan pemerintahannya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah dan beliau boleh memimpim masyarakat ke arah yang lebih baik dan boleh menjadi rujukan masyarakat.

Insyaallah selepas ini saya akan menulis lebih banyak lagi mengenai politik Islam seperti ciri-ciri peimimpin, corak pemerintahan dan lain-lain.

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment