Saturday, June 13, 2009

Jangan bawa politik ke masjid

Hanya dua perkara yang berada di hadapan kita sekarang. Sama ada kita menjadi orang-orang beriman yang memeluk dan menerima Islam secara syumul dengan menjadi mukmin sebenar atau mengambil separuh-separuh kerana mengikut jejak langkah syaitan. Keputusan tersebut terletak sepenuhnya di dalam tangan kita. Di dalam surah al-Baqarah ayat 208 menjelaskan jika kita tidak menerima Islam secara keseluruhan pun sudah dikira menolak Islam dan mengambil syaitan sebagai pedoman. Syaitan itu pula terdiri daripada kalangan syaitan yang asli ataupun syaitan dalam bentuk pemikiran yang karut-marut seperti isme-isme buatan manusia (contoh: sekularisme, liberalisme). Di sini, terserah kepada kita untuk mengikut kehendak Allah atau mengikut kehendak syaitan. Tidak wujud soal 'atas pagar' kerana itu hanyalah rekaan nafsu semata-mata.

Politik memang wujud dalam Islam. Islam ialah ad-din atau agama yang menyeluruh dan meliputi cara hidup yang lengkap dan sempurna sehingga hari kiamat. Jika ada orang yang mengatakan bahawa politik tidak boleh dibawa ke masjid, ini bermakna orang ini menolak kesyumulan Islam.

Jika kita teliti ayat 59 surah an-Nisa' yang bermaksud "Hai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta ulil amri di antara kamu" jelas ia menuntut umat Islam supaya taat kepada kerajaan yakni ulil amri yang taat kepada Allah dan Rasul. Persoalannya sekarang ialah bagaimana untuk mentaati ulil amri yang tidak taat kepada perintah Allah. Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah berpolitik ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang patuh dan taat kepada Allah dan Rasul adalah wajib. Salahnya pemimpin kita adalah apabila kita pandai-pandai membuang perkataan 'minkum' yakni ulil amri di kalangan kamu.

Nampaknya kita sekali lagi sedang disempitkan dengan apa yang sebenarnya luas. Soalnya ramai pula orang mengatakan politik itu kotor. Jika kotor, siapakah yang mengotorinya? Tidakkah wajib pula untuk membersihkan yang kotor? Jika begitu, apa yang boleh mensuci atau menyucikannya? jika tidak di masjid, maka dimanakah lagi persoalan seserius ini boleh dibincangkan? Maksud saya ialah diperbincangkan dalam keadaan al-Quran terhampar? Jika tidak di masjid, bolehkah dinyatakan tempatnya? Setakat ini adakah ia jujur demi mencari penyelesaian jika dibincangkan di tempat lain?

Berpolitik di masjid juga sudah menjadi sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda seorang negarawan yang menguruskan segala urusan kerajaan di masjid. Jadi mengapa kita tidak kembali kepada sunnah Rasul yang mulia? Bukan hendak menyuruh semua urusan pentadbiran dipindahkan ke masjid. Cuma, kita perlu menggabungkan besama elemen agama dan politik menjadi satu supaya dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang sememangnya tata dan patuh dan taat ke pada Allah dan Rasul. Insyaallah dalam post yang seterusnya saya akan memberi contoh sebuah kerajaan yang berusaha untuk mentadbir mengikut modul emerintahan Rasulullah s.a.w.

Sekian, wallahua'lam.

1 comment:

  1. kkite kene tahu mengapa disyorkan larangan berpolitik di masjid..
    antaranya, masjid ialah rumah Allah.. tempat yg sgt mulia, larangan itu bertujuan mengelakkan dr berlakunya fitnah dan perpecahan sesama ummah.. Kita kene berpijak di bumi yg nyata..

    ReplyDelete