Thursday, August 26, 2010

Penurunan Wahyu di Malam ke-17

Malam ini sudah masuk ke malam yang ke tujuh belas. Malam yang amat bersejarah bagi kita semua umat Islam. Malam turunnya Kalamullah yang Agung iaitu Al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w.


Semakin hampir juga kita dengan penghujung Ramadhan. Terasa begitu pantas masa berlalu. Ramai juga yang akan berkata "eh, cepatnya masa berlalu. tak sempat nak banyakkan amalan". 


Dialog biasa yang kita dengar saban tahun. Bukan masa yang cepat berlalu tetapi kita yang kurang cekap untuk mengejar masa tersebut. Kita hanya perlu bijak untuk membahagikan masa 24 jam yang ada dengan jadual khas untuk ibadah di bulan Ramadhan ini.


Suatu peringatan untuk diri saya terutamanya dan juga kepada anda.


Lailatulqadar vs Lailatultujuhlikur


Jika semasa kecil dahulu, saya sering mendengar mengenai Malam Tujuh Likur. Setiap kali Ramadhan, saya dan adik-adik yang lain akan seronok untuk menyalakan pelita di sekeliling rumah.


Tapi sehingga sekarang saya pun masih belum mengerti apa itu Malam Tujuh Likur! Hehehe.. saya cuma faham keseronokan bermain bunga api yang semakin rancak di hujung Ramadhan.


Seingat saya, penekanan mengenai Lailatulqadar yang lebih hebat dan besar ganjarannya dari beriya-iya menyambut Malam Tujuh Likur adalah sangat kurang. Sama ada di sekolah, di rumah mahupun di surau, semuanya bercerita mengenai puasa, puasa dan puasa.


Sedangkan Lailatulqadar itu sebenarnya bagi saya memberikan keghairahan untuk beribadat kepada hamba yang ingin mendekatkan lagi diri mereka kepada Allah. 


Firman Allah:



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤)سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)
Terjemahnnya: 
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!  (5)

Surah yang telah menceritakan segala-galanya mengenai Lailatulqadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang kelebihannya hanya dapat di nikmati oleh umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja. 

Jadi marilah sama-sama kita menambahkan amalan dengan memperbanyakkan amalan sunat yang ganjarannya berlipat kali ganda. Sebagai bekalan untuk kita di dalam kubur dan di akhirat kelak. Mungkin Ramadhan kali ini adalah yang terakhir untuk kita.

Makin hujung makin kurang

Satu lagi fenomena pelik yang saya lihat ialah semakin hujung Ramadhan semakin kurang umat manusia di surau-surau dan masjid-masjid. Sepatutnya semakin hujung semakin hebat pesta ibdahnya.

Tambahan pula kebanyakan masjid-masjid di KL ini sudah menyediakan juadah sahur sebagai galakan untuk kita lebih banyak masa untuk iktikaf di masjid. Janganlah kita lepaskan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan yang telah dikurniakan kepada kita dalam bulan Ramadhan.

Jika dahulu, Ramadhan bagi kita hanyalah bulan untuk berpuasa sahaja, maka pada Ramadhan kali ini kita ubah persepsi itu kepada bulan untuk menyemai amalan dan kita akan tuai hasilnya di akhirat kelak.

Saya juga ingin mengajak rakan-rakan yang mengenali diri ini untuk bersama-sama qiam di sepuluh malam yang terakhir. Boleh tidur di rumah saya dan seterusnya bangun untuk qiam di masjid. Kita mulakan dengan sedikit demi sedikit supaya dapat kita biasakannya di dalam bulan yang lain InsyaAllah.

Wllahua'lam.


No comments:

Post a Comment