Sunday, September 5, 2010

Persiapan di Saat Akhir

Semakin hampir kepada hari kemenangan, semakin pelbagai ragam manusia yang boleh kita lihat. Semuanya sibuk dengan hari lebaran yang menjelang tiba. Membeli-belah merupakan suatu kemestian dalam membuat persiapan hari raya.

Saya dan keluarga juga tidak terlepas untuk membeli-belah baju raya. Maklumlah, hendak jahit baju Melayu sendiri pun bukannya tahu sangat, silap-silap kain tutup meja jadinya nanti.

Kami memilih untuk membeli belah di sekitar jalan Tuanku Abdul Rahman daripada lorong-lorong hinggalah ke Sogo. Pengembaraan bermula pada jam 9 pagi dengan menuju ke arah lorong di tengah-tengah bangunan yang menjadi lokasi tumpuan rakyat Melayu.

Orang mula ramai sekitar jam 10 pagi dan seterusnya sesak dalam masa 30 minit selepas itu!!!. Kami terperangkap dalam 'lalu-lintas' di lautan manusia. Khemah-khemah jualan semakin padat dengan pelanggan. Harga yang diberikan juga cukup berpatutan.



"Harga kapal terbalik". Itulah yang menggelikan hati saya tatkala melihat papan tanda harga di tambah dengan tagline sedemikian. Menggambarkan betapa murahnya harga barangan di kedai mereka.
di Harissons

Ada juga yang menghairankan saya. Gerai makanan sudah mula beroperasi seawal jam kami tiba. "Mungkin mereka mahu lakukan persiapan awal dan tidak mahu kelam kabut apabila menjelang petang nanti," getus hati saya. Bersangka baik.

Keadaan menjadi lebih hebat apabila kami masuk ke dalam Sogo. MasyaAllah!! Lautan manusia yang lebih sesak. Ground Floor  Sogo menawarkan potongan harga sehingga 70%. Tidak hairanlah semuanya bertumpu ke sini.

Saya cuma membeli sehelai seluar dan juga sehelai T-Shirt untuk raya nanti. Tidak perlu banyak. Sekadar memenuhi sunnah Rasulullah semasa hari raya iaitu memakai pakaian yang baru.



Sogo yang menyesakkan!!


Masih dalam Pemburuan


Walaupun seronok membeli-belah, janganlah pula kita lupa dengan fadhilat 10 akhir Ramadhan. Semakin hujung semakin besar ganjarannya dan di tambah pulan dengan Lailatulqadr. Tetapi bahagian hujung inilah yang selalu kita lupa.

Leka dengan tawaran istimewa para peniaga hingga lupa kita kepada tugas dan misi kita memburu malam al-Qadr. Tawaran istimewa para peniaga lebih kita ambil kira daripada tawaran yang lebih berganda kehebatannya daripada Allah s.w.t kita lupakan.

Jadi, janganlah kita pinggirkan tawaran akhirat itu. Kita juga yang rugi.

Wallahua'lam
Syafiq Fikri

No comments:

Post a Comment